Alunan Nasuha

Saturday, June 19, 2010

menunggu subuh...

Umair mengerling ke arah jam di dinding batu tersebut. Jarum jam hampir menghampiri ke angka sembilan.

"Manalah kawan aku sorang ni......", keluhnya di dalam hati.

Dia bingkas bangun menuju ke dapur dan mengeluarkan potongan kek keju dan lantas membancuhkan seteko teh panas buat tetamu yang bakal bertandang nanti.

Ting tong....
Serentak itu loceng pintu rumahnya pun berbunyi.

"Hmm....Sampai pun mahluk sorang ni..."

Dia segera mempersilakan temannya, Zyad masuk ke dalam rumah. Umair segera menghidangkan santapan buat tetamunya itu. Aroma teh karamel menusuk ke dalam hidungnya.

"Eh, tak pernah-pernah pun kau hidangkan aku makanan special macam ni. Ni mesti ada apa-apa ni....", kata Zyad.

"Aku nak buat baik kat kau pun salah ke.....", jawab Umair ringkas.

Suasana menjadi hening. Panggilan telefon awal pagi tadi menerjah ke kotak ingatannya. Sewaktu dia sedang bersiap-siap untuk pergi membeli makanan, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Nama 'ummi' terpapar diskrin telefon bimbit tersebut.

"Assalamualaikum...", kedengaran suara wanita menyapa lembut dihujung corong.

'Waalaikumussalam, Ummi...Apa khabar?Ummi tengah buat apa tu?", soalnya banyak..

"Ummi sihat Umair. Baru lepas habiskan baca surah Al-Mulk ni.....Ummi telefon Umair ni sebenarnya ada benda penting yang nak bagitahu...", sambung ibunya.

"Apa dia?", tanya Umair.

"Sebenarnya, kelmarin Ummi dan Abi dah pinangkan seorang gadis untuk Umair. Kami rasa Umair akan terima keputusan dari kami ni dengan hati terbuka. Masa berbincang dengan keluarga pihak gadis tu, Ummi dan Abi dapat tahu bakal isteri Umair ni rupanya saudara sepupu dengan Zyad...", kata ibunya.

"Jadi Ummi nak Umair pergilah tanya dengan Zyad tentang gadis ni..", sambungnya lagi.

'Tapi siapa namanya, Ummi?"

"Sumayyah binti Abu Handzalah", jawab Umminya.

"Hah?!", bagai ada cas elektrik yang menyambar pada dirinya.

"Ya Allah! Alhamdulillah!KAU kabulkan doaku...", dia meraup muka memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Zat Yang Maha Agung. Tiada lebih yang diharap melainkan restu dan belas kasihan Rabbul 'Izzati.

Teguran Zyad mematikan lamunannya. Lantas Umair membuka bicara mengenai permintaan Umminya pagi tadi. Zyad jelas menunjukkan kegembiraan diwajahnya. Ucapan tahniah berulangan diberikan. Tiada apa yang lebih menggembirakan hatinya selain dapat melihat sahabat baiknya itu merangkap senior di Fakulti Syariah mengecapi kebahagiaan yang diberikan oleh Tuhan.

Sewaktu Zyad tiba di Madinah, Umairlah senior sefakulti yang banyak membantunya. Seringkali, kebajikan adik-adik difakulti lebih diutamakan berbanding kehendak diri sendiri. Umair yakin, setiap perbuatan baik yang ikhlas akan diterima oleh Allah dan DIA tidak akan menghampakan hambaNYA.

Umair Hayqal, mahasiswa Universiti Islam Madinah yang tekun berjibaku dengan kitab-kitab para Ulama' demi mencapai impian yang satu. Sebenarnya, bukanlah kejayaan dan penghormatan yang diimpikan, tetapi dia ingin membangunkan umat Muhammad yang mulia ini. Seorang Umair Hayqal mahu melihat ummah Islam hidup dalam landasan keimanan. Melihat ummah yang bertuah ini tahu menghargai kemanisan nikmat hidup sebagai hamba-hamba Azza Wa Jalla yang bertaqwa. Itulah cita-cita dan cintanya kepada saudara-saudara seislam. Dia tidak mahu melihat kemungkaran berleluasa di bumi tanah airnya. Baginya, agama Islam adalah agama yang suci dan indah. Maka, jika dihayati dengan iman dan amal pastinya bertambah keindahan tersebut.


.....................................................................................................


Langkah yang diatur terasa goyah, bumi seolah berpusing dan mentertawakannya. Hatinya terasa luluh tatkala Umair Hayqal menceritakan berita tersebut. Hancur remuk harapannya untuk menyunting Sumayyah menjadi suri hati di masa hadapan. Seolah-olah ada suara yang mentertawakannya.

"Padan muka kau Zyad! Inilah balasannya kerana kau telah mengecewakan Sumayyah dahulu. Sekarang baru kau nak menyesal! Sudahlah, semuanya dah terlewat. Tiada guna kau nak menyesal lagi."

Deruan angin menyapa lembut tubuhnya. Setitis air mata mengalir dipipi. Sungguh dia tidak menyangka dalam sekelip mata sahaja, dia sudah mendapat balasan kerana melukai Sumayyah. Bukan niat dihatinya ingin menyakiti hati Sumayyah, tetapi dia ingin menjaga batas pergaulan antara seorang lelaki dan perempuan. Sewaktu zaman kanak-kanaknya, Sumayyahlah teman tempat dia berhibur. Mereka sering kali bermain di waktu petang bersama anak-anak jiran yang lain. Kadang-kadang, mereka berjalan kaki dari rumah ke Pantai Bisikan Bayu yang terletak berhampiran dengan rumah mereka. Pantai Bisikan Bayu yang juga dikenali dengan nama Pantai Dalam Rhu terletak kira-kira 50 meter dari selatan ibu negeri Kelantan, Kota Bharu. Angin lembut yang bertiup di sepanjang pantai yang dipenuhi dengan deretan pepohon Rhu menyebabkan pepohon ini bergerisik seolah-olah membisikkan bayu yang menenteramkan. Suka-duka kehidupan mereka di Kampung Semarak dapat disaksikan oleh Pantai Bisikan Bayu yang menjadi tempat mereka berkumpul.

Tetapi, semua yang terjadi itu hanyalah sebentar. Mereka terpisah sewaktu peralihan sekolah rendah ke sekolah menengah. Zyad telah memohon kemasukan ke Maahad Muhammadi Lelaki Kota Bharu, Kelantan manakala Sumayyah pula telah menerima tawaran ke Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan. Dia masih ingat sewaktu hari keberangkatan Sumayyah ke sekolah barunya, dia telah menerima sepucuk surat daripada Sumayyah yang menyatakan isi hatinya terhadap sepupunya sendiri. Zyad sempat membalas surat tersebut dengan mengatakan,

"Aku bukan mahu melukaimu, tetapi percayalah hubungan kita hanya termaktub sebagai sepupu sahaja. Maafkan aku Sumayyah, aku bukan tidak mahu menerima kau, tetapi aku hendak menjaga batas pergaulan kita antara lelaki dan perempuan.

Walaupun dahulu engkaulah yang menjadi rakan karibku, walaupun dahulu kita sering bermain bersama, kadangkala berpegangan tangan ketika aku mahu memimpin kau melintas jalan dari rumah ke pantai, dan aku dahulu suka mengusikmu dengan menarik rambutmu sehingga kau menangis berjejeran air mata apabila pulang ke rumah. Tapi itu dulu Sumayyah! Semasa aku dan kau masih belum matang dan masih belum mengenal batas antara lelaki dan perempuan yang ajnabi iaitu kita. Fikirkanlah maruahmu sebagai seorang wanita. Jangan kerana aku, engkau sanggup menghulurkan kemuliaan kau sebagai seorang perempuan.

Maafkan aku Sumayyah! Aku tidak dapat menunggumu. Selagi engkau masih menyimpan perasaan terhadapku, maka janganlah kau menganggap aku sebagai saudara sepupumu lagi. Pergilah menuntut ilmu, itu peluang yang Allah telah berikan kepadamu. Jangan sia-siakan peluang ini hanya kerana aku seorang lelaki."

yang ikhlas,

Zyad Al-Farouqi

Semenjak itu, Zyad dan Sumayyah tidak lagi akrab seperti dahulu. Jika mereka bertemu pun sekadar kebetulan sahaja kerana masing-masing menyibukkan aktiviti seharian agar tidak saling berjumpa. Sumayyah pula jarang-jarang pulang ke kampung halaman.


(bersambung.hehhe..maaf..)

3 comments:

  1. maaf2...kalau ada kekliruan dalam citer ni...

    kalau ada pun itu tersalah taip..

    maaf2....

    abaikan kekeliruan tu ye..

    ana da edit pun..

    wallahualam

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum....anti Najihah Nasuha....bila anti nk sambung citer nih...MasyaAllah....penantianku cukup lama..

    ReplyDelete