Alunan Nasuha

Tuesday, July 13, 2010

[.::Taubatannasuha::.]

"Di manakah aku? Oh Tuhan, jangan Engkau biarkan aku keseorangan dalam kegelapan ini! Tolonglah aku, Tuhanku!" Ilham menjerit. Namun, jeritan itu tidak sampai ke mana-mana. Jeritan itu hanya bergema dalam hatinya sahaja.

Namun demikian, Ilham yakin bahawa Tuhan Maha Mengetahui maksud dalam hatinya. Dia hendak lari daripada kegelapan yang menyesakkan pernafasannya. Namun ke mana harus dia lari?

Kini, Ilham teringat kembali. Dia teringat akan tubuhnya yang ditinggalkan di dunia. Namun fikirannya buntu untuk memikirkan jalan kembali. Keadaan di sekelilingnya pula gelap-gelita dan sunyi sepi. Dalam keadaan itu, tiba-tiba dia terpandang akan cahaya yang berkelip-kelip kecil. Cahaya itu mengarah kepadanya.

"Ah, cahaya! Adakah cahaya itu untukku?", tanya Ilham.
Kini, cahaya itu semakin mendekatinya. Dia pun menggenggam cahaya sebesar lubang jarum itu dengan rakus.

"Cahaya ini tentu amat berguna kepadaku dalam keadaan yang gelap ini," kata Ilham dengan gembira.

"Tahukah kamu cahaya apa yang berada di dalam genggamanmu itu?" Tiba-tiba suatu suara berdesing ditelinganya. Namun, suara itu tidak diendahkannya.

"Itulah cahaya yang bakal menyuluh jalan untuk kamu ke akhirat kelak. Cahaya itu sepadan dengan kebaikan yang telah kamu lakukan di dunia ini," kata suara itu lagi.

"Hai, suara! Siapakah kamu? Aku tidak percaya akan kata-katamu itu. Bukankah aku selalu membuat kebajikan semasa di dunia? Berjuta-juta ringgit kudermakan kepada orang-orang miskin." Ilham memberikan penjelasan.

Tiba-tiba Ilham terpandang akan suatu lembaga di layar perak di depannya. Rupa-rupanya dialah lembaga itu. Lembaga yang menyerupainya itu terbaring di atas meja bedah. Dadanya terbuka luas. Ilham dapat melihat dengan jelas sel-sel darah merah dan putih di dalam badan lembaga itu bercampur baur dengan cecair seperti arak. Tangannya pula diselaputi najis dan kelihatan berkarat. Apabila melihat keadaan itu, dengan serta-merta Ilham menjerit.

"Apakah ertinya kejadian ini?" Ilham semakin bingung.

"Tidak perlu kujelaskan lagi. Kamu tentu mengetahui setiap perbuatan kau di dunia. Makanan dan minuman kamu dari sumber yang haram. Tangan, muka, rambut serta kedua-dua belah kakimu tidak pernah basah dengan air sembahyang. Kamu banyak menderma, tetapi minta dipuji," suara itu memberikan penjelasan.

"Tidak! Tidak! Itu tidak benar. Biarkan aku di sini. Jangan mengganggu aku," Ilham berteriak.

Sejurus kemudian, suatu suara lain pula mencelah. "Aku bersimpati dengan nasibmu. Namun aku tidak dapat berbuat apa-apa. Kamu telah ditentukan oleh Tuhan untuk menerima balasan yang setimpal dengan perbuatanmu. Seandainya kamu diberi peluang, maka bertaubatlah. Kembalilah ke jalan yang benar."

Tiba-tiba suara itu ghaib. Serentak dengan itu, ternampak oleh Ilham cahaya biru yang samar-samar. Cahaya itu menerangi kelilingnya. Terlihat olehnya wajah-wajah yang kabur di hadapannya. Dikerdipkan kelopak matanya berkali-kali. Akhirnya wajah-wajah yang kabur tadi sudah jelas kelihatan.

"Isteriku! Doktor!" Batinnya menjerit. Kini, dia memahami hal yang sebenarnya. "Bersyukurlah kepada Tuhan, bang. Abang selamat menjalani pembedahan," kata Munirah, isteri Ilham.

Alhamdulillah. Syukur kerana dia masih diberi peluang untuk bertaubat kepada Allah. Ilham berjanji bahawa dia akan menbus kembali dosa-dosanya yang lalu dengan taubat dan amal ma'ruf yang diredhai-NYA.

No comments:

Post a Comment